Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTHM, Prof. Madya Dr. Asri Selamat berkata, pihaknya juga akan memberikan kemudahan kolej kediaman percuma kepada pelajar Ijazah Sains Komputer itu sepanjang tempoh pengajiannya.

Menurutnya, kedua-dua bantuan tersebut akan bermula pada semester depan, namun dua lagi bantuan segera akan disalurkan kepada Fatima Azzahra melalui universiti berkenaan.

“Dua bantuan segera yang akan diberikan kepada pelajar ini adalah bantuan zakat melalui Pusat Islam UTHM pada setiap semester dan juga memasukkan namanya ke dalam Program Sabil Al-Hikmah iaitu makanan percuma pada hari kuliah.

“UTHM mahu memastikan kebajikan pelajar ini yang ditimpa dugaan terbela termasuk juga pelajar lain yang berdepan nasib sama kerana kita memang memiliki manual prosedur berkaitan perkara ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kepayahan hidup Fatima Azzahra, anak sulung kepada 11 beradik di Kampung Bukit Abal di Pasir Puteh, Kelantan mendapat perhatian apabila akhbar ini menyiarkan kisah keluarganya pada 14 Mei lalu.

Bapanya, Mohd. Asri Mat Zin meninggal dunia akibat kemala­ngan jalan raya berhampiran rumah mereka dan meninggalkan isteri, Alawiah Ismail, 46, serta anak-anak berusia lima hingga 21 tahun.

Tambah Mohd. Asri, Fatima Azzahra yang berada pada tahun kedua di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) merupakan antara pelajar cemerlang dengan pencapaian CGPA melebihi 3.0.

“UTHM juga akan meminta Jabatan Kaunseling untuk memberikan bantuan kaunseling kepada pelajar ini agar semangatnya tidak terganggu kerana kita tidak mahu perkara itu menjadi hala­ngan kepadanya untuk terus cemerlang.

“Kami juga mahu berterima kasih kepada pihak akhbar yang melaporkan perkara-perkara ini kerana mempercepatkan pe­nya­luran maklumat dan bantuan yang boleh diberikan,” katanya.