Kelihatan penduduk setempat yang terdiri daripada Orang Asli dan golongan muda berhimpun di gelanggang tersebut dalam suasana ceria seolah-olah ada ikatan kekeluargaan.

Bagi penduduk setempat, hari tersebut amat bersejarah.

Golongan muda itu sebenarnya penuntut kejuruteraan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) yang berkampung di pe­nempatan Orang Asli tersebut.

Unimap melaksanakan misi tanggungjawab sosial universiti (USR) dengan menyumbangkan panel solar bagi menerangi kawasan gelanggang futsal di kampung itu. Penuntut ber­kenaan berkampung di situ selama empat hari untuk USR itu.

Antara lainnya sumbangan tersebut turut bertujuan mendidik masyarakat tentang teknologi tenaga boleh diperbaharui melalui sumber matahari.

Program berkenaan dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) Majlis Peng­huni Kolej Kediaman Bumita serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Sepanjang program, peserta yang dibahagikan kepada keluarga angkat masing-masing turut menjayakan aktiviti USR lain seperti gotong-royong memasak, motivasi pelajar, mempelajari teknik survival di hutan dan sungai selain me­ngenali adat resam serta budaya tempatan.

Menurut Naib Canselornya, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, menerusi program yang dianjurkan itu, penduduk turut diberikan penerangan tentang proses simpanan tenaga dan pengecasan bateri melalui teknologi solar.

Jelasnya, teknologi merupakan sesuatu yang bersifat teknikal, namun apabila melibatkan komuniti kita seharus­nya menggunakan pendekatan yang lebih mudah difahami dan ini sangat penting dalam mewujudkan masyarakat yang celik teknologi.

“Atas dasar itu, kesemua 40 penuntut kejuruteraan Unimap yang terlibat dengan misi ini diminta untuk menerapkan perkongsian ilmu teknologi kepada masyarakat Orang Asli daripada suku kaum Jakun yang merupakan majoriti penduduk di kampung berkenaan.

“Hasilnya, kita dapat melihat keterujaan penduduk yang mana mereka turut mengharap­kan agar teknologi tersebut dapat diaplikasikan ke seluruh kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis Penyerahan Papan Solar kepada Ketua Penduduk, Tok Batin Kassim di kampung tersebut baru-baru ini.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor HEPA Unimap; Prof. Dr. Mohd. Foad Sakdan, Pengarah Pusat Sukan Unimap; Suhizaz Sudin dan Pengetua Kolej Kediaman Bumita; Dr. Hirwan Jasbir Jaafar.