Pengerusi Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung berkata, jawatankuasa tersebut dipengerusikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling, Cheo Yee How dengan kerjasama Jabatan Imigresen Negeri Johor (JINJ).

Jelasnya, ini kerana bilangan mereka yang menggunakan laluan itu akan meningkat berbanding hari biasa berikutan cuti sekolah termasuk cuti sekolah di Singapura bermula.

“Sebelum ini juga sudah meningkat, sebagai contoh, menurut JINJ, bilangan penumpang yang melalui laluan bas KSAB pada 9 Mac adalah 11,965 orang manakala pada 16 Mac 19,308 orang.

“Kenaikkan seramai 7,343 orang mengakibatkan kesesakan yang luar biasa. Hakikatnya adalah, infrastruktur laluan bas di KSAB memang tidak dapat menampung kedatangan pelancong yang terlalu tinggi,” katanya ketika ditemui di sini sebentar tadi.

Beliau berkata, jabatan tersebut mengambil langkah untuk menambah tenaga kerja bagi melegakan kesesakan dan mengatasi masalah pada masa itu.

Sebelum ini Cai Tung menerima aduan bahawa ramai penumpang bas terpaksa turun bas dan beratur panjang dengan bagasi mereka di KSAB untuk pelepasan imigresen yang mengakibatkan masa penungguan yang agak panjang.

Bagi mengatasi masalah itu katanya, pihak KSAB menempatkan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di laluan bas untuk menjaga aliran trafik dan melancarkan laluan tersebut supaya penumpang bas tidak perlu turun dan beratur lama.

“Pada masa yang sama, saya menggesa pemain industri dan ejen pelancongan untuk mengambil kira tempoh puncak, musim percutian dan pelepasan kastam semasa merancang perjalanan.

“Mereka juga sepatutnya mengaturkan supaya pelancong-pelancong dapat bermalam sekurang-kurang satu malam di Johor sebelum ke Melaka dan Kuala Lumpur agar mereka tidak terlepas peluang menikmati produk-produk pelancongan di negeri ini,” katanya.

Beliau juga menggalakkan pelancong luar negara untuk masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) dekat sini yang kini terdapat tujuh laluan antarabangsa termasuk penerbangan terus dari Guangzhou dan Haikou, China.

“Johor adalah pintu masuk selatan ke semenanjung Malaysia yang utama dan saya berharap pemain industri pelancongan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam mempromosikan negeri ini. Bersama-sama, kita akan berusaha menyediakan perkhidmatan dan pengalaman yang lebih baik kepada semua pelancong,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE