Pada masa ini, sejumlah 400 liter minyak tersebut dieksport ke Jerman manakala beberapa negara lagi antaranya China, United Kingdom dan Korea sudah menyatakan minat untuk menjual minyak tersebut di negara masing-masing.

Menurut Ketua Projek yang juga saintis biokimia di Institut Pembangunan Bioproduk (IBD) UTM, Prof. Dr. Mohamad Roji Sarmidi, keunikan TPBB adalah kebolehupayaan menghasilkan minyak kelapa itu 85 peratus lebih tinggi daripada kaedah sedia ada.

Selain itu, katanya, proses tersebut juga dapat mengekalkan sifat fizikal, kimia dan biologi minyak tersebut dengan kualiti tinggi sekali gus menjadi bahan asas menghasilkan produk hiliran seperti produk kesihatan dan kosmetik.

“Sehingga kini terdapat 10 produk berasaskan minyak kelapa dara yang dihasilkan mela­lui proses TPBB untuk memasak, penjagaan kesihatan dan kosmetik telah dikomersialkan di bawah anak syarikat UTM, Phyto Biznet Sdn. Bhd. sejak 2012.

“Buat masa ini, kita turut menerima permintaan dari Jerman dan beberapa negara lain turut menunjukkan minat kerana istimewa kelapa itu yang kaya anti oksida semula jadi yang baik bagi kesihatan,” katanya di sini baru-baru ini.

Pada 3 November lalu, Mohamad Roji, saintis di IBD, sebuah pusat penyelidikan berstatus Pusat Kecemerlangan Pe­ngajian Tinggi menerima pengiktirafan Anugerah Akademik Ne­­gara di bawah Kategori Inovasi dan Pengkomersialan Produk.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Pengamal Perubatan Nutrisi Malaysia berkata, kelapa dipilih kerana buah itu sinonim dengan rakyat Malaysia dan terkenal dengan sifat anti oksida semula jadi dan mampu memberi impak kepada kesihatan manusia antaranya kebolehan untuk merangsang dan meningkatkan metabolisme dan menyokong fungsi tiroid.

“Penghasilan produk itu bukan sahaja berjaya dalam aspek pengkomersialan tetapi turut membabitkan pembangunan mo­dal insan serta mewujudkan peluang pekerjaan di sepanjang rantaian bekalan dan menyokong ekosistem pengkomersialan pro­duk,” katanya.