Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung berkata, setakat ini terdapat lima Pusat Jaya Diri YPKDT beroperasi.

“Kerajaan negeri mahu memastikan setiap daerah memiliki sekurang-kurangnya satu pusat jaya diri yang bertujuan untuk memperkasa wanita, khususnya golongan suri rumah.

“Pusat Jaya Diri yang beroperasi kini adalah di Johor Bahru, Kota Tinggi, Kluang, Batu Pahat dan Segamat, manakala dua lagi iaitu di Tangkak dan Kulai akan dibuka pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Pembangunan Sahsiah, Emosi dan Eksplorasi Diri (Proseed) dan Program Transformasi Minda Insan (Promis).

Turut diadakan Penyampaian Bantuan Ibu Tunggal dan Srikandi Berpendapatan Rendah.

Tambah Cai Tung, Pusat Jaya Diri YPKDT merupakan sebuah institusi yang memberi ilmu kemahiran sara hidup kepada golongan ibu tunggal seperti kelas memasak, membuat kek dan menjahit. - UTUSAN ONLINE