Menteri Besar, Datuk Osman Sa­pian berkata, Johor bertuah kerana dikurniakan pelbagai sumber alam semula jadi antaranya Gunung Ledang, hutan hujan tropika berusia 248 tahun dan satu kawasan di sini dikenali sebagai penghujung tanah benua Asia.

“Begitu juga kita memiliki persisiran pantai menarik termasuk di pulau-pulau sepanjang 4,500 kilomerter. Semua ini memerlukan pemuliharaan dan tanggungjawab semua pihak supaya terus dinikmati generasi akan datang.

“Pemuliharaan termasuklah memastikan flora dan fauna tidak diancam kepupusan termasuk habitat seperti badak Sumatera, Harimau Malaya, rusa sambar, tenggiling dan kambing gurun.

“Tanggungjawab ini perlu dipikul bersama bukan sahaja Jabatan Perlindungan dan Hidupan Liar (Perhilitan) tetapi orang ramai yang sayangkan khazanah alam semula jadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran logo baharu Perbadanan Taman Negara Johor yang disempurnakan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim di Taman Negara Johor Tanjung Piai di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Mohd. Farid Md. Rafik merangkap Ahli Parlimen Tanjung Piai; Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Saharuddin Jamal dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wa­nita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung.

Hadir sama Ahli Dewan Un­dangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas, Neo Tung Siong, Pegawai Daerah Pontian, Mohd. Shukri Mohd. Masbah dan Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor, Mustafa Kamal Abdullah.

Mengenai logo baharu itu, Osman berkata, menampilkan gabungan badak Sumatera dan Pokok Kipas spesies Livistona enduaensis dan pembaharuan itu merupakan inisiatif Tunku Idris Sultan Iskandar selaku Penaung Taman Negara Johor.

“Dengan penjenamaan semula logo baharu diharap dapat meningkatkan fungsi penubuhan Perbadanan Negara Johor yang ditubuhkan pada tahun 1989,” ujarnya.

Tambah Osman, usaha-usaha pemeliharaan hidupan liar serta habitatnya sentiasa dijalankan melalui kajian dan penguatkuasaan bersepadu bagi mengesan sebarang pencerobohan termasuk pemburu haram.

Sementara itu, Mustafa Kamal berkata, pada 1 Oktober ini pihaknyaa akan melancarkan pakej lawatan baharu melibatkan Tapak Ramsar bagi Taman Negara Pulau Kukup dan Tanjung Piai, kawasan perlindungan, Gunung Ledang, Selai, Peta dan Taman Laut Sultan Iskandar.

“Pakej-pakej ini diharap menarik pengemar alam semula jadi untuk menjadi lokasi percutian berilmu termasuk dalam kalangan ahli-ahli keluarga su­­paya mengenal lebih dekat taman-taman negara di Johor,” ujarnya.