Pengerusi Masjid Felda Chemplak, Mazlan Sidi, 61, berkata, walaupun dia dan 25 AJK masjid itu sudah kerap memasak bubur lambuk sebelum ini, namun tanggungjawab memasak bubur lambuk untuk program KMJ agak berbeza dan disifatkan istinewa.

“Kami ditugaskan memasak empat periuk bubur lambuk dan dijadualkan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut sama memasak bubur lambuk itu sebagai satu aktiviti hari kedua KMJ yang singgah di Felda Chemplak hari ini.

“Kami membuat persiapan sejak beberapa hari sebelum tarikh program, namun semalam pukul 3 petang semalam kami sudah mula bergotong-royong menyediakan rencah yang diperlukan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya, kerja-kerja menyediakan rempah ratus serta bahan lain hanya selesai kira-kira pukul 12 tengah malam di mana waktu itu mereka mula menumis rempah dan bahan lain.

Menurutnya, mereka mula mengacau empat periuk besar bubur lambuk bermula pukul 2 pagi manakala selesai sekitar pukul 6 pagi dan sepanjang tempoh tersebut mereka tidak tidur sehingga program selesai kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.

Tambah Mazlan, walaupun tidak tidur semalaman, namun semua yang dipertanggungjawabkan memasak bubur lambuk tersebut tetap teruja menanti kedatangan Sultan Ibrahim yang mencemar duli sama-sama menyempurnakan proses terakhir memasak bubur lambuk.

 

“Hari ini begitu bermakna bagi saya dan rakan lain yang berpeluang mengacau bubur lambuk bersama-sama Sultan Ibrahim di mana hari ini merupakan kali pertama kami bersua muka dengan baginda.

“Peluang bertemu secara dekat dan sama-sama mengacau bubur lambuk dengan Sultan Ibrahim merupakan sejarah dalam hidup saya yang akan saya ingati sampai bila-bila,” katanya. - UTUSAN ONLINE