Madu lebah kini boleh didapati dengan mudah di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja.

Khasiat madu lebah tidak dapat disangkal, malah dijadikan penawar untuk pelbagai jenis penyakit seperti batuk.

Bukan itu sahaja, madu lebah juga digunakan untuk pelbagai kegunaan termasuk produk makanan dan minuman serta kecantikan.

Antara ternakan lebah yang menjadi pilihan ramai ketika ini adalah daripada spesies kelulut kerana proses penjagaannya yang lebih mudah dan boleh diusahakan di halaman rumah.

Bagi Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri, Mohd. Halim Hasbullah, 58, dia mula mengusahakan ternakan kelulut sejak tiga tahun lalu.

Idea dan minat untuk meng­usahakan madu kelulut timbul sewaktu beliau menjadi Pegawai Daerah Batu Pahat pada tahun 2015.

“Ketika itu saya tinggal di rumah rasmi dengan kawasan yang luas dan banyak sumber makanan untuk kelulut, iaitu pokok buah-buahan dan bunga-bungaan.

“Sebagai Pegawai Daerah dan nak dijadikan contoh oleh masyarakat setempat, saya cuba ternak kelulut di keliling rumah dengan membeli 20 unit log (rumah kelulut) dan hasilnya cukup menggalakkan.

“Tujuan saya untuk galakkan masyarakat usahakan ternakan kelulut kerana mampu menjana pendapatan tambahan dan secara tak langsung dapat mengatasi kos sara hidup di bandar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Serama, Larkin dekat sini.

Apabila berpindah ke bandar raya ini kerana dilantik menjadi Pengarah PTG pada penghujung 2016, beliau meneruskan minat dalam ternakan berkenaan.

Mohd. Halim yang mendapat sokongan daripada isteri, Afrinah Mohd. Ikhsan, 58, yang juga Pengetua Sekolah Mene­ngah IJ Covent JB berkata, kediaman mereka yang berhampiran dengan Hutan Bandar Johor Bahru juga amat bersesuaian dengan ternakan kelulut kerana banyak sumber makanan seperti pokok buah-buahan dan bunga-bungaan.

“Kelulut mudah dijaga dan tak perlu banyak modal, iaitu permulaan hanya beli log sahaja. Lebah kelulut juga tidak perlu diberi makan dan tidak perlu pembersihan najis.

“Ternakan jenis itu juga memang sesuai bagi masyarakat bandar yang ingin menjadikannya pendapatan tambahan untuk menampung keluarga dan yang penting kita harus bijak menguruskannya,” katanya sambil memberitahu kini beliau mempunyai 80 log.

Mengenai cabaran ternakan ke­lulut, bapa kepada seorang anak dan dua cucu ini me­ngakui tidak menghadapi banyak masalah, namun lebah kelulut begitu sensitif dengan semburan forging yang boleh menjejaskan kehidupannya dan kualiti madu yang dihasilkan.

Menerusi 80 log, kini beliau mampu memperoleh antara 15 hingga 20 kilogram madu bagi setiap tuaian dan harga jualannya antara RM300 hingga RM350 sekilogram.

Beliau mengakui tidak menghadapi masalah untuk memasarkan madu kelulut.

Malah katanya lagi, bekalan madu kelulut setakat ini tidak mencukupi berikutan kesedaran masyarakat yang mahukan produk terbaik dan asli.