Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Lokman Hakim Ali berkata, litar yang dibangunkan dengan kos sebanyak RM14.07 juta itu memiliki sebuah trek perlumbaan sepanjang satu kilometer.

Menurutnya, litar yang siap dibina pada Oktober tahun lalu itu juga akan memberi peluang kepada belia tempatan menceburi bidang automotif, sekali gus me­ran­­cakkan ekonomi penduduk setempat.

“KBS sentiasa komited untuk membangunkan pelbagai kemudahan sukan kerana apa sahaja sukan yang terdapat di negara ini adalah untuk kebaikan rakyat.

“Kita juga melihat sukan sebagai medium terbaik dalam memupuk perpaduan.

“Justeru, KBS berharap menerusi pembinaan litar ini akan dapat menganjurkan pelbagai acara sukan pemotoran dan mencungkil bakat baharu untuk diketengahkan,” katanya selepas menerima penyerahan Kompleks Sukan Bermotor Tangkak Racing Track oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), semalam.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Ismail Mohamed; Pengarah Kanan Cawangan Kerja Bangunan Am 1 JKR, Datuk Ir. Mo­hd. Jamal Sulaiman dan Pe­ngarah JKR negeri, Ir. Mohamad Salleh Abu Bakar.

Litar yang dibina mengikut spesifikasi Persatuan Automobil Malaysia (AAM) itu mempunyai lapan selekoh dan satu laluan lurus sepanjang 290 meter.

Selain itu, kompleks berkenaan turut memiliki sebuah kawasan lapang bagi kegunaan perlumbaan motorcross dan mempunyai infrastruktur termasuk asta­ka berkapasiti 500 penonton, ruang paddock, gerai jualan dan kaun­ter tiket.

Dalam pada itu Lokman Hakim berkata, pihaknya sedang memuktamadkan cadangan untuk membina beberapa buah lagi litar serupa yang akan dibangunkan di negara ini.