Pengerusi Jawatankuasa Ker­­jaraya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang berkata, kaunter di CIQ masih belum beroperasi sepenuhnya ekoran kekurangan jumlah anggota bertugas dalam satu-satu masa.

“Antara langkah akan diambil adalah dengan menambah bilangan anggota Jabatan Imigre­sen, ini bagi membolehkan le­bih banyak kaunter dibuka yang mana pada masa kini tidak lebih daripada 80 peratus kaunter dibuka.

“Saya berharap langkah yang diambil ini akan membantu mengurangkan kesesakan yang kerap berlaku di laluan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis sambutan perayaan Deepavali di Skudai, dekat sini semalam.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Osman Sapian dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar negeri, Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, unit pasukan khas yang dibentuk bagi menangani masalah kesesakan di laluan utama sentiasa melakukan pemantauan secara harian, namun kesesakan tidak dapat dielak khususnya pada musim perayaan.

“Antara punca kesesakan lain termasuklah apabila pihak berkuasa Singapura melakukan pemeriksaan secara menyeluruh dan terperinci, berbeza de­ngan pemeriksaan harian biasa.

“Pada ketika mereka mela­kukan operasi, kesesakan yang berlaku di bahagian Singapura akan berterusan sehingga ke Johor Bahru,” ujarnya.