Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Koperasi dan Keusahawanan negeri, Ismail Mohamed berkata, kerja-kerja itu perlu dilaksanakan segera kerana Sungai Muar terpaksa menerima limpahan air dari Sungai Segamat setiap kali banjir.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang berkata, air dari Su­ngai Segamat mengambil masa untuk ke muara Sungai Muar ekoran bentuk alirannya yang tidak lurus dan kurang lebar.

“Permohonan berkenaan sudah dibuat beberapa kali sebelum ini, tetapi kita memahami perancangan yang dibuat oleh kerajaan dan berharap ia diluluskan sebe­rapa segera.

“Kita berharap kerja-kerja ter­sebut apabila dilaksanakan kelak bagi memberi manfaat kepada masyarakat terutamanya penduduk yang sering terjejas setiap kali banjir besar melanda kawasan ini,” katanya dalam Majlis Pengagihan Wang Ihsan Mangsa Banjir Daerah Muar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Dae­rah Muar, Mohd. Noorazam Osman dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri, Kolonel Mat Zin Bujang.

Dalam majlis yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kepong itu, seramai 174 ketua isi rumah membabitkan 637 mangsa banjir menerima bantuan ihsan berjumlah RM500 bagi setiap keluarga.

Banjir di kawasan Lenga dan Bukit Kepong berlaku pada 24 Januari hingga 3 Februari lalu dan bantuan keseluruhan seba­nyak RM87,000 itu disampaikan melalui Kumpulan Wang Ama­nah Bantuan Bencana Negara (KWABBN).

Sementara itu, Ismail memberitahu, kerajaan juga sedang mempertimbang untuk melaksanakan projek pembinaan Empangan Sungai Meda, di sini bagi mengurangkan kesan banjir.

“Projek tersebut dianggarkan berharga RM100 juta yang kini masih dalam peringkat kajian dan sekiranya dilaksanakan ia boleh membantu mengelak kesan banjir yang lebih teruk,” ujarnya.