ZULKARNAIN HASHIM
ZULKARNAIN HASHIM 

Bagi mereka, pencemaran Sungai Kim Kim bukan perkara baharu dan sudah diajukan kepada pihak bertanggungjawab selama bertahun-tahun tetapi tiada tindakan diambil.

Namun apabila pencemaran toksik pada 7 Mac lalu didedahkan, baharulah tindakan diambil termasuk memburu dalang yang melakukannya, itu pun selepas menjadi isu besar menggegarkan negara.

Penduduk Kampung Pasir Putih di sini, Zulkarnain Hashim, 40-an, mendakwa, penduduk sudah membuat aduan kepada pihak berkenaan sejak sekian lama tetapi tiada langsung tindakan susulan.

“Sejak 10 tahun lalu, kami puas berjuang membela nasib Sungai Kim Kim, masa itu tiada sistem aduan melalui laman web kecuali menggunakan emel. Dalam emel pelbagai luahan saya tulis sampailah akhir­nya dapat berjumpa dengan pegawai berkenaan.

“Apa yang dikatakan pada saya waktu itu, kenapa tidak mengikut saluran betul. Apa tidaknya apabila aduan tidak dilayan, saya terus pergi ke Putrajaya mengadu hal ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

MOHD. ROSLAN YUSOF
MOHD. ROSLAN YUSOF 

Laporan akhbar sebelum ini menunjukkan pencemaran toksik di sungai tersebut melibatkan seramai 5,848 mangsa dan daripada jumlah itu, seramai 951 orang dimasukkan dalam wad manakala 25 pula dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

Zulkarnain berkata, semua maklumat dan bukti dilakukan pihak yang bertanggungjawab mencemarkan Sungai Kim Kim sudah dikemukakan termasuk kesan signifikan terhadap manusia dan hidupan laut.

Seorang nelayan, Mohd. Ros­lan Yusof, 53, berkata, pencemaran sungai itu bukanlah perkara baharu bagi penduduk setempat malah sudah berlarutan sejak beberapa tahun ke­belakangan ini.

“Sudah sejak sekian lama kami berdepan masalah pencemaran, ini bukan sekali dua terjadi. Kesannya, hasil tangkapan kami juga berkurangan dan ini menjejaskan pendapatan kami.

“Banyak aduan buat pihak nelayan, namun tiada sebarang tindakan diambil pihak berkenaan. Apabila timbul masalah pencemaran toksik, baharulah ada pihak terbabit membuka mata tentang perkara ini,” katanya.