Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, majlis rumah terbuka itu tidak dapat dianjurkan kerana baginda dan keluarga diraja masih berkabung bagi menghormati pemergian bonda Sultan Ibrahim, Enche’ Besar Hajah Khalsom pada 1 Jun lalu.

“Adalah menjadi tradisi bersambungan bagi tuanku dan keluarga diraja beramah mesra bercampur-gaul dengan rakyat dalam majlis perjumpaan rumah terbuka Hari Raya.

“Walau bagaimanapun atas sebab yang tidak dapat dielakkan, perjumpaan tersebut tidak dapat diadakan pada tahun ini. Insya-Allah majlis seperti itu akan diadakan pada tahun depan,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook Rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sebentar tadi.

Justeru, Sultan Johor berharap rakyat memahami tentang perkara itu.

“Tuanku dan keluarga diraja berdoa ke hadrat Allah SWT barang apalah dikurniakan kesejahteraan dan dipermudahkan segala urusan rakyat sekalian,” katanya. - UTUSAN ONLINE