Setiausaha Sulit kepada Sultan Johor, Jaba Noah berkata, keputusan tersebut adalah di bawah Enakmen Tanah Kesultanan.

“Hendaklah dijaga dan dikawal selia oleh kerajaan negeri Johor di bawah Perbadanan Taman Negara JOhor bagi menjadikannya sebuah produk peloncongan negeri Johor,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Semalam Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, Pulau Kukup akan diubah status menjadi tanah kesultanan dan langkah itu supaya kawasan itu akan lebih terjaga dan dilindungi selepas statusnya diubah.

Sebelum ini satu salinan Warta Kerajaan Johor berhubung pembatalan perizaban Pulau Kukup sebagai Taman Negara bertarikh 24 September lalu kini mula tersebar dalam laman sosial.

Menurut Warta Kerajaan Johor itu, pembatalan keseluruhan kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan Taman Negara Pulau Kukup itu berdasarkan kuasa diberi mengikut Subseksyen 3 (3) Enakmen Perbadanan Taman Negara Johor (1989).

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini meluluskan usul tergempar untuk Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Johor mengkaji semula status Taman Negara Pulau Kukup.

Usul berkenaan diluluskan oleh Speaker DUN, Suhaizan Kaiat selepas dibahaskan dan mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). - UTUSAN ONLINE