Produk tersebut ialah pusat pembenihan dan pemeliharaan ikan kelah, Far East Planet di Kampung Air Merah, dekat sini.

Pemiliknya, Mohd. Hanafi Awang, 56, mengakui pada mulanya hanya memelihara 100 ekor kelah yang dibeli daripada pembekal di Hulu Langat, Selangor pada 2012.

Namun, apabila menyedari ikan bernilai tinggi itu dapat menyesuaikan diri dengan baik dipelihara di dalam kolam yang dibina di sebelah rumahnya, maka hobi tersebut dikembangkan sebagai suatu perniagaan.

“Jumlah ikan kelah semakin bertambah selepas setahun dan saya mula belajar membuat pembenihan sendiri.

“Sebelum ini, kebanyakan anak ikan diberi daripada Orang Asli di negeri ini, Perak dan Pahang, tetapi kini kami melakukan pembenihan sendiri.

“Pada masa ini, kami mempunyai kira-kira 15,000 ekor daripada dua spesies, iaitu kelah merah dan biru,” katanya kepada Utusan Online hari ini.

Mohd. Hanafi yang juga bekas pemberita sambilan Utusan Malaysia Johor mengakui amat gembira dan bertuah kerana Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan rombongan berkenan melawat ke pusat pembenihan dan pemeliharaan ikan kelah miliknya sempena Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2019.

Pada lawatan itu, Sultan Ibrahim turut berkenan merasmikan pusat tersebut dan memberi makan ternakan itu.

Mohd. Hanafi yang dibantu anak sulung, Ahmad Faris, 25, serta ahli keluarga yang lain kini mempunyai 2,500 ekor induk spesies kelah merah dan 500 biru.

“Kebanyakan pembeli terdiri daripada peminat ikan akuarium tempatan. Untuk eksport, kami masih belum dapat memenuhi permintaan kerana bekalan tidak mencukupi.

“Bagi perancangan masa depan, kami memang mahu mengeksport ikan kelah ke luar negara seperti China, Hong Kong, Taiwan, Macau dan Singapura yang mempunyai permintaan tinggi,” katanya. - UTUSAN ONLINE