Buku setebal lebih 100 muka surat itu yang dihasilkan Johor Corporation (JCorp) itu memuatkan memori penganjuran Kembara Mahkota Johor bermula pada tahun 2001 hingga 2018.

Selain itu, buku tersebut juga turut mempamerkan adat budaya, permainan, makanan, kraftangan serta pakaian tradisi kaum di Johor.

Coffee Table Book berharga RM150 itu mula dijual kepada orang ramai bermula hari ini dan ia boleh didapati di semua destinasi persinggahan Kembara Mahkota Johor 2019.

Turut berangkat hadir menyaksikan pelancaran buku itu adalah Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berserta keluarga Diraja Johor dan rombongan kembara.

Di Dataran Majlis Daerah Pontian, baginda singgah bersarapan di sebuah kopitiam berdekatan, sebelum beredar ke Pusat Perdagangan Pontian bagi menyaksikan Cub Prix 2019.

Sementara itu, Raja Zarith Sofiah berkenan mengunjungi khemah pameran dan menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf manakala paduka anakanda pula ke khemah aktiviti e-sport.

Selepas meluangkan masa lebih satu jam di Dataran Majlis Daerah Pontian, rombongan KMJ meneruskan perjalanan ke Pusat Latihan Rekreasi Markisa, Kampung Sungai Nibong, dekat Semerah, Batu Pahat. - UTUSAN ONLINE.