Isteri Tunku Mahkota Johor, Che' Puan Khaleeda Bustamam berkata, aktiviti sukan secara tidak langsung dapat melahirkan rakyat yang cergas dan berdi­siplin, sekali gus sentiasa kental menghadapi cabaran kehidupan.

“Rakyat seperti inilah yang diperlukan oleh negeri yang membangun seperti Johor.

“Sukan juga merupakan ins­titusi yang boleh menempa kejayaan dan kecemerlangan serta mengharumkan negeri Johor,” ka­tanya pada Maj­lis Jamuan Teh bersama sekumpulan atlet daripada Persatuan Badminton Negeri Johor dan Bola Jaring Negeri Johor, di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan dan Pengarah Majlis Sukan negeri, Mohd. Gadaffie Abd. Aziz.

Majlis berkenaan juga menyaksikan pengumuman Che' Puan Khaleeda sebagai Penaung Diraja kedua-dua persatuan berkenaan.

Beliau turut menyerahkan insentif penghargaan kepada kumpulan atlet berkenaan.

Che' Puan Khaleeda berkata, bagi daya pencapaian dan pengeluaran ke peringkat maksimum, beliau yakin majlis seumpama itu akan meningkatkan mutu kedua-dua persatuan.

“Saya berharap program me­ngenal pasti bakat yang ada di setiap daerah giat dilaksanakan dan perlu diketengahkan untuk pasukan yang terbaik pada masa depan.

“Saya berharap kedua-dua persatuan ini akan lebih maju dan terdapat banyak program yang perlu dirancang serta dilaksanakan bagi membangunkan kedua-dua sukan ini,” katanya.