Beliau sudah mengarahkan Jabatan Alam Sekitar Johor (JAS) untuk menyiasat laporan tersebut dengan segera.

“Saya juga telah mengarahkan pasukan dan agensi keselamatan seperti bomba dan penyelamat serta polis untuk menutup kawasan tersebut.

“Sehingga laporan yang lengkap diperolehi daripada JAS, kawasan tersebut hendaklah ditutup sepenuhnya sehingga kerja-kerja pembersihan, kawalan dan penyiasatan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

TANGKAP layar hantaran Datuk Osman Sapian berhubung laporan dan aduan bahawa terdapat beberapa lagi

TANGKAP layar hantaran Datuk Osman Sapian berhubung laporan dan aduan bahawa terdapat beberapa lagi kes disyaki kesan pembuangan sisa toksik di kawasan Masai. - UTUSAN ONLINE/ FACEBOOK

Sejak semalam tular gambar dan isu pencemaran di Sungai Masai Utama, Taman Rinting dalam media sosial semalam sekali gus menimbulkan keresahan orang ramai.

Gambar itu dimuat naik dalam Facebook Komuniti Kota Masai-KKM menunjukkan sebahagian jalan di kawasan itu juga ditutup bagi membolehkan kerja pembersihan sedang dilakukan.

Sementara petang tadi beberapa lagi tong dipercayai berisi sisa buangan bahan kimia ditemui dalam semak berhampiran Taman Tanjung Puteri Resort di sini.

Kesemua tujuh buah tong berwarna biru itu dikatakan telah ditemukan penduduk kawasan tersebut sejak 14 Mac lalu.

Menurut Osman, jika benar pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan pembuangan haram, tindakan tegas akan diambil.

“Saya tidak akan membiarkan bencana kimia ini berulang kerana nyawa dan keselamatan rakyat menjadi pertaruhan,” ujarnya.

Beliau menyeru kepada semua rakyat untuk menjauhi kawasan tersebut dan mematuhi peraturan keselamatan yang disediakan. - UTUSAN ONLINE