Ketua Pegawai Eksekutif SAJ, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman berkata, penggantian itu melibatkan jarak kira-kira 5,500 kilometer.

“Ini menerusi penggantian paip lama jenis Asbestos Cement (AC) kepada paip jenis High Density Polyethylene (HDPE).

“Sebanyak 94 projek penggantian paip dijalankan secara berperingkat hingga 2020 termasuk 58 di Johor Bahru, 13 (Kulai), 17 (Pontian), empat di Kota Tinggi serta dua di Muar,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Inisiatif NRW Johor di Kampung Bendahara di sini baru-baru ini.

Program itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd. Izhar Ahmad.

Ahmad Faizal berkata, masalah itu menyebabkan kira-kira 440 juta liter pembaziran air dibuat di negeri ini pada setiap hari sekali gus tidak menafikan satu jumlah yang besar.

Beliau berkata, pembaziran berkenaan berpunca daripada dua komponen iaitu kehilangan fizikal dan komersial.

“Kehilangan fizikal bermaksud membabitkan kebocoran atau paip pecah yang kebiasaannya melibatkan paip lama berusia lebih 20 tahun manakala kehilangan komersial merangkumi bacaan meter tidak tepat, penggunaan air tidak sah serta kegunaan air tidak dibilkan.

“Pada tahun ini, pihak SAJ mencapai kadar penurunan pembaziran air atau kadar Air Tidak Berhasil (NRW) sebanyak 24.12 peratus dan menyasarkan sehingga paras 10 peratus menjelang 2022, seterusnya lima peratus menjelang 2025,” katanya.

Berikutan itu, Ahmad Faizal berkata, pihaknya melakukan penggantian paip tersebut bagi memastikan penurunan kadar kehilangan fizikal.