Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, penyerahan itu melibatkan 488 unit empat jenis rumah di Bandar Dato'Onn dan dan 320 unit pangsapuri tiga bilik di Bandar Baru Majidee.

Menurutnya, sebanyak 350,000 permohonan diterima sejak 22 Mac 2017 selepas RIBJ dilancarkan hingga 28 Februari lalu dan mereka diminta mengemas kini permohonan masing-masing menerusi Sistem RIBJ (SRIBJ) dan hingga tarikh tutup 8 November lalu, 44,467 pemohon berbuat demikian.

Daripada jumlah 44,467, seramai 22,405 pemohon mengemas kini permohonan dengan lengkap seperti yang dikehendaki.

“Setelah melalui pelbagai sa­ringan terperinci menggunakan SRIBJ yang turut dipautkan de­ngan sistem pemilikan hartanah di peringkat Pejabat Tanah dan Galian Johor, seramai 1,809 permohon berjaya disenarai pendek berdasarkan kriteria ditetapkan untuk ditawarkan RIBJ.

“Dengan mengambil kira kelayakan pinjaman hasil saringan yang dibuat oleh pihak bank di samping bukti daripada dokumen sokongan yang dikemukakan pemohon, seramai 71 pemohon telah terpilih untuk ditawarkan rumah tersebut.

“Walau bagaimanapun, pada majlis hari ini seramai 32 orang sahaja akan menerima Sijil Tawaran RIBJ, manakala bakinya akan dise­rahkan kemudian dalam fasa pemilihan yang selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan Sijil Tawaran RIBJ yang disempurnakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di tapak projek RIBJ di Bandar Dato' Onn di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Osman Sapian dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Azmi Rohani.

Projek RIBJ di Bandar Dato’ Onn dilaksanakan oleh JCorp dengan kerjasama kerajaan negeri melibatkan pembinaan sebanyak 488 unit sejak Julai lalu dan dijangka siap sepenuhnya tahun 2020.