Pasangan itu, Shaifulizan Ahman, 49, dan isterinya, Nor Azizah Alias, 46, kini hanya mampu melihat anaknya, Mohd. Aiman Daniel Shaifulizan, 18, tidak lagi seperti remaja lain.

Menurut Nor Azizah, anak­nya terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan untuk bekerja di bandar ini yang menyebabkannya cedera parah pada bahagian kepala.

“Aiman dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru dan menjalani rawatan selama dua minggu sebelum dibawa pulang ke rumah.

“Dia kini tidak lagi mampu menguruskan diri sendiri, makanan hanya susu disalurkan menggunakan tiub khas melalui hidung serta memakai pakai lampin buang se­perti seorang bayi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Haji Siraj, Kayu Ara Pasong di sini baru-baru ini.

Katanya, Aiman yang banyak membantu perbelanjaan di rumah sebelum ini tidak mampu berkata-kata dan hanya berkomunikasi menggunakan gerak mata dan sering menitiskan air mata.

“Dia kini bergantung kepada susu formula khas yang berharga RM80 bagi berat 850gram yang hanya dapat bertahan selama dua hari dan memerlukan 15 tin dalam sebulan,” katanya.

Menurutnya, dengan penda­patan suaminya yang bekerja mengambil upah di kebun kelapa sawit, tidak cukup untuk menampung perbelanjaan Aiman yang memerlukan kira-kira RM2,000 sebulan bagi membeli lampin pakai buang, ubat-ubatan, tiub dan sewa pengangkutan untuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan.

Nor Azizah tidak mahu menyusahkan anak-anak lain memandangkan mereka sudah berkeluarga dan hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu walaupun ada membantu adiknya.

Setakat ini, katanya, anaknya itu turut menerima bantuan Baitumal dan sedang dalam proses bagi mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pontian.