Razimi mengambil alih jawatan itu bagi menggantikan Timbalan Ketua JPJKK Johor, Asisten Komisioner, Kamal Faizul Mohd. Zain yang diberi tanggungjawab memangku tugas terbabit sejak dua bulan lalu.

Sebelum ini, Razimi menjawat jawatan Timbalan Ketua JPJKK (Operasi) di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sejak 2016.

Razimi menganggap kenaikan pangkat itu sebagai rezeki buatnya untuk mengetuai satu jabatan terpenting dalam organisasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya di negeri ini.

“Terima kasih kepada pucuk pimpinan PDRM kerana mempunyai keyakinan terhadap saya atas kenaikan pangkat ini. Pastinya ini akan menjadi dorongan tinggi buat saya untuk sentiasa memberikan perkhidmatan kepolisian yang profesional, berintegriti dan patuh kepada undang-undang.

“Menggalas tugas ini memerlukan satu persediaan rapi yang perlu dilakukan. Saya juga mungkin akan menerapkan inisiatif baharu terutamanya dalam konsep pencegahan jenayah dan perkara ini memerlukan penglibatan setiap anggota dan pegawai,” katanya ketika berucap selepas majlis serah terima tugas di Auditorium IPK Johor di sini pagi tadi.

Majlis serah terima tugas itu disempurnakan oleh Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

Mohd Khalil berkata, pihaknya mempunyai harapan yang tinggi terhadap kemenjadian JPJKK negeri dalam usaha meletakkan jabatan berkenaan di barisan hadapan dalam usaha pencegahan jenayah. - UTUSAN ONLINE