Justeru, usaha negara untuk meningkatkan peratusan tenaga kerja dalam bidang berkenaan mungkin agak terbantut berdasarkan perkembangan itu.

Namun, fenomena itu sebaliknya diambil sebagai cabaran oleh Kelab Taha Tabung Haji yang menganjurkan STEM Innovation Challenge bagi memupuk minat pelajar untuk mempelajari bidang berkenaan.

Program tahun kedua yang dikendalikan Berkat Minda Resources itu dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dianggap antara inisiatif terbaik untuk kembali meletakkan bidang itu dalam landasan­nya bagi menyaingi negara-negara lain.

Pelbagai pendedahan diberikan dalam program bagi peringkat Zon Selatan baru-baru ini antaranya kepelbagaian teknologi, sumber tenaga boleh guna dan aplikasi mudah untuk jentera robotik bagi membina bandar pintar.

Seramai 100 peserta dari 25 buah sekolah menengah di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan mengikuti program berkenaan yang dibahagikan kepada dua fasa, meliputi pembinaan ilmu teo­ri dan praktikal membangunkan model bandar pintar.

Kreativiti pelajar tingkatan satu hingga tiga terserlah dengan idea dan konsep masing-masing ketika membangunkan model bandar pintar yang perlu dima­sukkan beberapa ciri dan elemen.

Mereka yang perlu menjadi ahli Kelab Taha untuk menyertai pertandingan itu perlu mengemukakan idea masing-masing untuk menambah baik dan meles­tarikan kehidupan manusia.

Pengurus Besar Khidmat Pe­langgan Tabung Haji, Mohd. Nasir Mohd. Yusoff berkata, terdapat kelainan yang dimasukkan dalam program tahun ini, iaitu pertan­dingan membuat replika atau model bandar pintar berbanding program kesedaran sebelum ini.

Beliau berkata, usaha tersebut diharap dapat menyemai minat pelajar untuk menyahut seruan kerajaan meminati bidang sains bagi melahirkan tenaga kerja mahir ke arah memacu industri berasaskan kemahiran.

“Pada tahun ini Tabung Haji melalui Kelab Taha juga telah memperkenalkan program STEM bagi murid sekolah rendah berumur antara 10 hingga 12 tahun yang bermula 4 Ogos lalu.

“Program ini mendapat pengiktirafan khusus daripada Kementerian Pendidikan sebagai aktiviti kokurikulum. Jadi, saya yakin sedikit sebanyak pendedahan awal ini dapat membenihkan minat pelajar untuk menjadikan bidang ini sebagai pilihan utama,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Sementara itu, Pensyarah Kanan UKM, Dr. Mohamad Sattar Rasul berkata, pihaknya membangunkan empat modul bagi kegunaan STEM Innovatian Cha­llenge, iaitu tenaga, pengangkutan, infrastruktur bandar dan komunikasi tanpa wayar.

“Kesemua modul itu perlu ada bagi membangunkan model bandar pintar, ciri-ciri itu penting untuk menunjukkan bagaimana tenaga dapat dijimatkan dan menambah baik serta melestarikan kehidupan manusia,” katanya.

Menurutnya, program STEM berkenaan bukan semata-mata membangunkan projek, malah turut menekankan kemahiran insaniah iaitu melakukan kerja secara berpasukan dan kemahiran menyelesaikan masalah serta membuat keputusan.

“Pada akhirnya kita hendak lihat bukan semata-mata projek, tetapi kemahiran itu yang secara tidak langsung akan membuat pelajar berfikiran kritikal dalam melakukan sesuatu perkara,” katanya.

Beliau berpendapat, panda­ngan bahawa pelajar tidak meminati bidang STEM hanya skeptikal, sedangkan mereka tidak diberi peluang secukupnya untuk mendalami bidang itu.

“Saya menganggap apa yang dilakukan Tabung Haji dengan pihak-pihak lain sebagai mulia kerana inisiatif begini tidak ramai yang mahu mengambil peranan yang sebenarnya menyumbang kepada negara dan mereka sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Skudai, Johor Bahru diumumkan sebagai johan bagi mewakili Zon Selatan untuk ke pusingan akhir STEM Innovation Challenge di ibu negara pada November ini.

Mereka akan diiringi empat buah sekolah lain bagi merebut hadiah wang tunai RM3,000 yang turut melibatkan peserta dari seluruh negara mewakili zon ma­sing-masing.