Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, itu adalah titah dan kehendak Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Menurutnya, RIBJ yang me­rupakan cetusan idea ba­gin­da yang prihatin terhadap permintaan rakyat dan bangsa Johor untuk mendapatkan rumah kediaman yang selesa serta mampu dimiliki.

“Memandangkan ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan, selain projek RIBJ di Mersing yang telah diumum pada November lalu, satu lagi projek RIBJ di Batu Pahat akan dilancarkan tidak lama lagi iaitu di Taman Mutiara Gading, melibatkan pembinaan 210 unit rumah teres se­tingkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penye­rahan Sijil Tawaran RIBJ Bandar Dato’ Onn dan Bandar Baru Majidee kepada 808 penerima pe­ringkat kedua yang disempurnakan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Kompleks Mutiara Johor Land, di sini semalam.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ), Datuk Azmi Rohani dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dzulkefly Ahmad.

Kamaruzzaman berkata, penyerahan sijil tawaran RIBJ bagi kedua-dua projek itu dibuat berdasarkan kuota 50 peratus Melayu, 30 peratus kaum Cina dan 20 peratus kaum India dan lain-lain mengikut kriteria dan juga pilihan pemohon.

“Pada masa ini, pembinaan 488 unit RIBJ di Bandar Dato’ Onn dijangka disiapkan sepenuhnya dan pemilikan kosong diserahkan kepada bakal pembeli pada penghujung tahun 2020 manakala Bandar Baru Majidee pula, pembinaan membabitkan 320 unit pangsapuri dan dijangka dapat diserahkan kepada pembeli pada hujung tahun ini,” katanya.