Pelepasan konvoi jelajah melibatkan 11 kereta pacuan empat roda disempurnakan oleh Pengarah Tourism Johor, Abdul Malik Ismail di pekarangan Komtar JBCC di sini pukul 7.30 pagi tadi.

Presiden KMJ, Mohamad Fauzi Ishak berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) selama dua hari satu malam itu melibatkan 20 ahli kelab.

Menurutnya, selain itu, konvoi juga disertai warga kerja Tourism Johor, Hospital Pakar KPJ Kluang Utama dan ahli kelab Johor Trucks.

“Konvoi bergerak dari Komtar JBCC menuju ke pejabat Perbadanan Taman Negara Johor di Kahang, Kluang untuk proses dokumentasi sebelum menuju ke Taman Negara Johor Endau-Rompin.

“Antara aktiviti kami adalah pemeriksaan kesihatan bersama-sama masyarakat Orang Asli, penyampaian sumbangan berupa barangan keperluan dan terpakai selain beramah mesra bersama mereka,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelepasan Jelajah Media Johor 2018. - UTUSAN ONLINE