Ketua Polis daerah, Superintenden Mohad Idris Samsuri berkata, pihaknya menyiasat dari semua aspek kes tersebut termasuk unsur jenayah penderaan atau pengabaian terhadap bayi malang berkenaan.

“Siasatan yang sedang dilakukan polis merangkumi perkara-perkara berkenaan, tetapi terlalu awal untuk membuat kesimpulan terdapat unsur jenayah atau sebaliknya.

“Tetapi, saya juga berharap semua pihak tidak membuat andaian awal sementara proses siasatan dilakukan dengan rapi oleh pihak polis bagi memberi keadilan kepada semua,” katanya ketika ditemui di Ibu pejabat Polis (IPD) Tangkak, semalam.

Kelmarin, Naufal Amsyar yang dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini meninggal dunia kira-kira pukul 9 pagi di sisi ibu bapa­nya, Nabil Fikri Anwar, 28, dan Noraziqah Rohmat, 23.

Beliau berkata, proses bedah siasat ke atas mayat mang­sa yang kemudian selamat dikebumikan telah dilakukan oleh pakar di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar namun keputusannya mengambil masa untuk diperoleh.

“Suspek juga tidak memiliki sebarang rekod jenayah dan pernah me­ngasuh beberapa kanak-kanak lain sebelum ini, malah kita juga sudah membuat pemeriksaan fizikal terhadap anak angkatnya, tetapi tiada apa-apa kecederaan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohad Idris memberitahu, pihaknya juga berjaya mendapat perintah sambungan reman terhadap pengasuh wanita berusia 35 tahun itu selama tiga hari selepas tempoh reman sebelum ini berakhir semalam.