Justeru, semakin ramai golongan menceburi bidang perniagaan sama ada secara sepenuh masa ataupun sambilan.

Antara yang mengambil cabaran dengan ‘terjun’ dalam bidang perniagaan ialah Roshidah Ismail, 42, yang menceburi perniagaan fesyen pakaian.

Dia kini menghasilkan produk sendiri menggunakan jenama Jannah Anggun iaitu pelbagai jenis pakaian termasuk seluar, baju, skirt, blaus dan tudung.

Menariknya, produk yang diusahakannya kira-kira sembilan tahun lalu, kini bukan sahaja mendapat menerima tempahan daripada pelanggan tempatan, malah sehingga ke luar negara termasuk Brunei, Singapura dan Qatar.

Menceritakan kejayaan yang dikecapi syarikat Jannah Anggun Enterprise, Roshidah memberitahu, dia memang meminati bidang jahitan.

“Kerana terlalu minat dalam bidang jahitan, ketika umur sembilan tahun sa­ya ‘curi’ ka­in batik emak untuk dijadikan baju blaus. Apabila emak tahu kain batik kesayangannya kena racik jadi baju, saya dikenakan hukuman dengan diikat pada dinding rumah.

“Selepas itu saya pendam sahaja minat tersebut. Namun, selepas berumah tangga dan ditambah dengan faktor desakan hidup serta berusaha untuk menambah sumber pendapatan keluarga, pa­da tahun 2009 sa­ya cuba berniaga dengan membuat tudung, bermula dengan 10 helai dan Alhamdulillah sambutan memang ada,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menyedari potensi dalam bidang fesyen memang cerah, maka Roshidah mengambil keputusan un­tuk jalani kur­sus jangka pendek dalam bidang jahitan bagi meningkatkan kemahirannya.

Menurutnya, dengan memberi fokus terhadap produk tudung mengikut arus fesyen terkini, dalam jangka masa setahun, iaitu pada 2010 perniagaannya mula mendapat sambutan luar biasa.

Ibu kepada lima anak ini berkata, pada tahun 2011 perniagaannya cukup memberangsangkan dengan memperoleh tempahan secara konsisten daripada pelanggan Qatar iaitu 50 helai tudung sebulan.

“Saya bersyukur berkat kesabaran dan kegigihan apabila pada 2014, produk Jannah Anggun mula menembusi pasaran Brunei dengan tempahan antara 50 hingga 100 helai tudung sebulan.

“Begitu juga pasaran tempatan yang merangkumi seluruh negeri dan Singapura yang dipasarkan secara online turut menyumbang kepada perolehan yang baik,” katanya.

Dia yang merupakan bekas kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad di Biro Johor berkata, pada 2016 berikutan perkembangan cukup baik, dengan dibantu suaminya, Hasri Hasan, 51, membuat pinjaman dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk dijadikan modal membeli kain.

Produk Jannah Anggun turut dikenali dan kini pihaknya turut membekalkan tudung untuk kilang-kilang, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta tudung untuk kakitangan Kumpulan Perubatan Johor.

Katanya, Jannah Anggun sentiasa mengamalkan perbelanjaan berhemah dan pada waktu sama produk yang dihasilkan berkualiti bagi memastikan kepuasan hati pelanggan.

“Masa nak mulakan perniagaan ini, saya terpaksa mengeluarkan duit Kumpulan Wang Simpanan pekerja (KWSP) sebanyak RM3,000 untuk membeli dua jenis mesin jahit serta kain.

“Kini saya memiliki sembilan mesin jahit iaitu jahit kemas, jahit tepi dan double stich. Bagi mengendalikan kerja-kerja tersebut, saya dibantu tiga pekerja secara tetap,” katanya.

Seperti usahawan lain, Roshidah turut mempunyai perancangan masa depan dengan membuka kios di Iskandar Puteri dan bercadang mewujudkan lebih banyak kios berikutan kadar sewa lebih rendah berbanding premis kedai.

Menurutnya, sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, pihaknya turut membuka tempahan untuk baju wanita dan sesiapa berminat boleh menghubunginya menerusi talian 019-7511402.