OSMAN SAPIAN

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, kerajaan negeri menerusi Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) ada cadangan untuk memperkenalkan perkhidmatan tersebut.

“Projek ini merupakan sebahagian rancangan jangka panjang untuk meningkatkan pengangkutan awam di Iskandar Malaysia,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Daerah Johor Bahru, di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, Istanbul dan San Francisco adalah dua bandar raya yang menyediakan perkhidmatan trem dan berjaya menjadi pengangkutan utama bagi warganya dan pelancong.

“Selepas ini, apabila anda mahu naik kereta api, datang dan lawati Johor Bahru,” kata­nya.

Beliau berkata, apabila perkhidmatan itu beroperasi nanti di Iskandar Malaysia, bilangan bas awam memasuki bandar raya ini akan dikurangkan.

Menurutnya, penggunaan bas dalam bandar raya ini memerlukan banyak ruang dan kini sudah sampai masanya beralih menggunakan perkhidmatan trem, apatah lagi lebih mesra alam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim berkata, perkhidmatan trem yang dicadangkan akan meliputi kawasan Medini di Iskandar Puteri, Pasir Gudang dan sebahagian Kulai.

“Kita perlu belajar dari bandar lain di dunia dengan perkhidmatan trem adalah sebahagian daripada sistem pengangkutan awam mereka untuk penduduk tempatan serta tarikan pelancongan,” katanya.