Menurut Timbalan Pengerusi Badan Bertindak Penduduk Isu Pencemaran Mohd. Rafee Abdullah, 46, sejak insiden pencemaran Sungai Kim Kim sehingga ke hari ini, baik kerajaan mahu pun kerajaan negeri hanya mendiamkan diri.

“Kejadian dah lama berlaku, jadi, apa yang mereka buat sampai sekarang tiada sebarang maklum balas, ditimbulkan pula soal kilang haram...kita nak tanya apa yang kerajaan buat selama ini, kami penduduk perlukan bantuan dan sokongan.

“Kita sangat hampa dengan kerajaan, yang dijanjikan untuk mengadakan sesi townhall pun tiada, yang kita minta kerajaan negeri datang berjumpa dan dengar apa yang kita nak luahkan pun tiada,” katanya ketika ditemui di Taman Pasir Putih di sini hari ini.

Beliau berkata, badan tersebut yang kini disertai lebih 400 penduduk kawasan itu buat masa ini terpaksa bergerak sesama mereka untuk menjalankan pelbagai aktiviti dan program berkaitan termasuk membersihkan sekolah tanpa bantuan daripada kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Mohd. Rafee turut mempersoalkan apa yang cuba disembunyikan kerajaan apabila dimaklumkan terdapat laporan perubatan hospital segelintir mangsa dikatakan tiada apabila diminta.

“Mangsa memerlukan pembelaan seperti pemeriksaan perubatan dan adalah tidak adil bagi kita apabila pergi hospital laporan perubatan kita ‘dihilangkan’, rekod perubatan tiada, kita pergi ke sana macam tiada apa-apa. Jadi kita tidak tahu apa yang cuba disembunyikan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Rafee turut mendakwa ada pihak yang cuba mensabotaj program berkaitan pencemaran yang cuba dianjurkan mereka sekali gus membuatkan mereka kini lebih berhati-hati dan menegaskan apa yang dilakukan tiada berkaitan dengan mana-mana fahaman politik. - UTUSAN ONLINE.