KOTA TINGGI 6 Jan. - Lebih 300 penduduk Kampung Felda Sungai Mas di sini tidak bersetuju dan membantah pelantikan ketua kampung itu yang disifatkan sebagai tidak layak.
Imam Masjid Besar Felda Sungai Mas, Hamim A. Samad, 68, mendakwa, ketua kampung yang dilantik pada 20 Disember lalu tersebut tidak memenuhi kriteria selain dibuat atas pelantikan politik dan bukan kerana kebolehannya memimpin di peringkat akar umbi.
Pada awalnya kata Hamim, penduduk membuat bantahan secara bertulis dan memberikan dua nama sebagai calon ketua kampung berdasarkan kelayakan dan hubungan dengan komuniti setempat.
“Kami menghantar surat kepada pihak Pejabat Daerah Kota Tinggi pada September 2018. Kami membantah sebab-sebab calon yang dinamakan yang kini menjadi ketua kampung.
“Selain itu kami juga menghantar surat kepada ke Pejabat Menteri Besar Johor dan Pejabat Exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri pada 19 Disember lalu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Pada 29 Disember lalu, Hamim bersama-sama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Generasi Kedua Felda Sungai Mas, Mohd. Faizal Asmar dan penduduk setempat mengadakan himpunan aman membantah ketua kampung yang baharu itu.
Sementara itu, Mohd. Faizal, 42, berkata, pihaknya mahukan ketua kampung yang mesra dan bergaul dengan masyarakat selain merupakan anak jati serta tinggal di kampung tersebut.
“Kita mahu ketua kampung mendapat kepercayaan warga Felda Sungai Mas untuk mentadbir kampung. Ini bagi membolehkannya mendengar pandangan dan suara masyarakat setempat.
“Penduduk juga mahu pemimpin dengan latar belakang baik dan dapat memupuk kemesraan serta tidak mempunyai masalah bukan sahaja dengan masyarakat tetapi keluarga sendiri,” katanya.
Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Cawangan Sungai Mas, Khairul Nizam Othman, 34, berkata, penduduk memberikan tempoh sehingga 10 Januari ini untuk menukarkan ketua kampung sedia ada kepada pilihan mereka iaitu Zainal Omar, 56.
Menurutnya, Zainal yang merupakan pembantu bilal di masjid berkenaan adalah calon pilihan majoriti penduduk kerana mempunyai karisma, lebih disenangi dan rapat dengan komuniti.
Sekiranya gesaan penduduk tidak diambil peduli, pihaknya akan membawa perkara itu kepada perhatian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk tindakan lanjut.