Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md. Jais Sarday berkata, langkah itu selari dengan matlamat kerajaan negeri yang mahukan pelaksanaan standard kualiti supaya pengurusan sisa pepejal berjalan dengan baik.

Katanya, perkara itu dengan program Johor Bersih dan Lestari yang diilhamkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menitikberatkan kesedaran serta pendidikan masyarakat mengenai kepentingan kebersihan dalam kehidupan seharian.

“Saya yakin kaedah ini bukanlah sesuatu yang mustahil kerana budaya kerja seumpama itu sudah pun dilaksanakan oleh beberapa kerajaan tempatan di Sarawak yang memperkenalkan prosedur penting dalam pengurusan sisa pepejal mengikut SOP ditetapkan.

“Pelaksanaan standard kua­liti ini menjadi satu cabaran kepada PBT yang diharapkan berfungsi lebih daripada sekadar pu­ngutan cukai dan pelesenan sahaja, malah diharapkan dapat mengambil inisiatif kreatif dan membantu agensi lain mereali­sasikan hasrat kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Setiausaha Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Sidek Paiman dalam majlis penutup bengkel kajian keberkesanan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di setiap PBT di Johor di sini hari ini.

Jais berkata, usaha yang dilakukan kerajaan negeri bukan bertujuan menyusahkan masyarakat sebaliknya mendidik mereka mengenai kepentingan menjaga kebersihan dalam kehidupan seharian termasuk di rumah, pejabat, sekolah dan di tempat awam.

“Saya berharap dengan adanya bengkel ini, penambahbaikan perkhidmatan yang diberikan oleh SWCorp dapat ditingkatkan dan seterusnya dapat menaikkan imej setiap PBT di negeri ini yang selari dengan Dasar Kelestarian Negeri Johor 2017-2021,” katanya.