Biarpun Palu dan warganya semakin pulih dan bangkit daripada trauma bencana itu, namun kehidupan mereka masih ‘di­selubungi' ketakutan dan trauma kerana gempa susulan walapun pada kadar kecil dan sederhana tetap berlaku hingga kini.

Malah, masih ramai penduduknya tinggal di pondok atau khemah sementara atau ‘rumah senyum’ yang didirikan hasil sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari pelbagai negara termasuk Malaysia.

Menyedari penduduk Palu masih amat memerlukan bantuan, sebuah NGO, MyCare dan Pasar Raya Econsave tidak berlengah untuk datang lagi menyampaikan sumbangan hasil kutipan rakyat Malaysia, khususnya untuk golongan nelayan yang terjejas aki­bat kelengkapan menangkap ikan musnah dilanda tsunami.

Ketua misi, Prof. Madya Dr. Mohd. Zin Kandar berkata, misi kemanusiaan kali kedua selepas yang pertama pada Oktober tahun lalu itu bagi menyampaikan sumbangan Kempen Perahu4Palu yang dilancarkan pihak­nya dengan kerjasama Econsave.

“Kali ini kita sumbang 30 perahu di tiga kampung nelayan.Jumlah ini akan ditambah apabila menerima lebih banyak sumbangan daripada orang ramai,” katanya.

“Setiap penerima mendapat perahu, enjin dan jaring bernilai RM2,500. Kita harap sumbangan ini membantu mereka memulakan semula pekerjaan mencari rezeki untuk keluarga,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Selain itu, beliau yang juga Pengerusi MyCara Johor berkata, delegasi misi kemanusiaan tersebut turut menyantuni mangsa tsunami akibat letusan gunung berapi anak Krakatau di Banten yang mengorbankan lebih 400 orang pada 22 Disember lalu.

MyCare dan Econsave yang bekerjasama dengan sebuah NGO Indonesia, PKPU Human Initiative mengagihkan kit kebersihan diri bagi golongan wanita, wang tunai, barangan keperluan harian dan pek makanan ringan kepada kanak-kanak.

Sementara itu, Pengurus Besar Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam memaklumkan Tabung Gempa Lombok dan Palu yang diletakkan di lebih 70 buah pasar raya Econsave di seluruh negara menerima lebih RM250,000 sumbangan daripada orang ramai.

Beliau berkata, tabung berkenaan akan diteruskan kerana mangsa gempa bumi di Lombok, Palu dan kini Banten amat memerlukan banyak lagi bantuan daripada masyarakat antarabangsa untuk bangkit dan meneruskan kehidupan mereka.

Pihaknya juga akan membiayai pembinaan sebuah pusat nelayan di Kampung Loli Dondo seperti yang disuarakan golongan nelayan di situ.

“Kita akan usahakan dan pusat tersebut dirancang untuk dibina secepat mungkin,” katanya.

Habis..