Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal berkata, penglibatan mereka dalam bidang itu juga diharap dapat menjadi pencetus revolusi ekonomi negara terutama dengan adanya platform dalam talian bagi memasarkan produk mereka.


Menurutnya, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga sudah mewujudkan portal Agrobazaar Online, platform untuk generasi muda melibatkan diri dalam bidang pemasaran produk berkenaan secara dalam talian seiring dengan peredaran zaman.


“Kita mengharapkan penglibatan golongan muda melalui bidang itu, usahawan terutama di kalangan graduan dapat diwujudkan sekali gus fenomea Job Creator juga dapat dicetuskan dan bukan hanya ada Job Seeker,” katanya dalam Majlis Pelancaran MyAgrosis New Breed Marketing Entrepreneur (NBME) Peringkat Negeri Johor di sini sebentar tadi.


Tambahnya, mengikut data Agrobazaar Online, sejak 2016 hingga tahun lalu, sebanyak 11,635 produk melibatkan 4,815 usahawan menyertai portal dalam talian itu dan dalam tempoh itu nilai jualan yang direkodkan adalah dianggarkan sebanyak RM4.3 juta.- UTUSAN ONLINE