Pelbagai peringkat umur dapat dilihat. Mereka meru­pakan penduduk tempatan yang mengikuti program Swadaya Desa: Sihat dan Jelita bersama masyarakat Orang Asli Kanaq di kampung itu.

Program yang dijalankan ber­mula pada 8 pagi hingga 5 petang itu berjaya membuatkan masyarakat Orang Asli Kanaq yang dikenali sebagai kelompok etnik pemalu menjadi mudah mesra menerima kunjungan orang luar.

PESERTA wanita aktiviti tatarias mendengar penerangan penceramah.
PESERTA wanita aktiviti tatarias mendengar penerangan penceramah. 

Antara pengisian program ter­masuk aktiviti tatarias yang mengajar mereka cara-cara menjaga kulit wajah, asas solekan dan penampilan diri kepada golongan wanita selain turut menganjurkan pertandingan Miss Jelita.

Selain itu, aktiviti kebersihan diri meliputi cara menjaga ke­bersihan serta penjagaan tubuh badan meliputi penjagaan mulut dan gigi, penjagaan rambut daripada kutu serta kebersihan kuku, tangan dan kaki turut dikongsi bersama-sama mereka terutama golongan kanak-kanak Orang Asli Kanaq, mereka turut menjalankan aktiviti gotong royong.

RASMAN ITHNAIN (berdiri, enam dari kiri) bersama penuntut UTHM
RASMAN ITHNAIN (berdiri, enam dari kiri) bersama penuntut UTHM.

Dalam program sama, cera­mah berhubung penjagaan kesihatan diri serta pemeriksaan payu dara juga diadakan untuk golongan wanita manakala pertandingan bola sepak bagi golongan lelaki turut diadakan.

Perasmian program anjuran Pusat Pengajian Umum dan Ko­kurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) de­ngan kerjasama Pejabat Ah­li Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili itu disempurna­kan­ ADUN Sedili, Rasman Ithnain.

Selain itu, turut mendapat kerjasama Pejabat Penghulu Mukim Sedili, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kota Tinggi, Yayasan Pembangunan Keluar­ga Darul Ta'zim, Lembaga Ke­­­ma­juan Johor Tenggara (Kejora), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPPK) Kampung Gembut serta Lembaga Pemba­ngunan dan Perancang Keluarga Johor.

Suku kaum Orang Asli Kanaq merupakan satu daripada 18 suku kaum Orang Asli yang terdapat di negara ini dan ter­golong dalam kumpulan Melayu Proto selain Senoi dan Negrito.

SEBAHAGIAN daripada penuntut UTHM yang menyertai aktiviti bersama
SEBAHAGIAN daripada penuntut UTHM yang menyertai aktiviti bersama  masyarakat di Kampung Orang Asli Sungai Selangi, Kota Tinggi. 

Dengan hanya seramai 89 orang daripada 24 buah keluarga, masyarakat Kanaq menjadi suku kaum Orang Asli yang pa­ling kecil bilangan penduduk­nya di dunia berbanding suku kaum Orang Asli lain.

Sementara itu, menurut Rasman, program yang dija­lankan itu amat baik dan perlu diteruskan kerana masyarakat Orang Asli Kanaq dikenali sebagai sangat pemalu, cuba mengelak daripada ber­temu orang luar dan lebih gemar bergaul dalam lingkungan mere­ka sahaja.

“Jadi, dengan adanya pe­ngan­juran program seumpama ini, saya percaya ia akan membantu kaum Kanaq untuk mera­patkan lagi hubungan selain mem­buatkan mereka mudah mesra menerima orang luar. Kita sememangnya mahu mereka bergaul sebagai sebuah keluarga besar negara ini,” katanya.