Shahizatul Farha atau lebih mesra de­ngan panggilan Farha, memulakan perusahaan berbentuk kraf tangan barangan kelengkapan kanak-kanak itu sejak tahun lalu, beberapa bulan setelah berhenti kerja sebagai seorang wartawan selama kira-kira 10 tahun.

Sebelum memulakan perusahaan secara atas talian itu, dia melakukan satu pekerjaan secara sambilan, namun dalam masa sama tetap memikirkan untuk menjual produk buatan sendiri.

“Saya memang gemar menjahit dan terfikir untuk menjahit barangan kelengkapan kanak-kanak seperti play mat, beg alat tulis dan buku permainan.

“Awalnya ia hanyalah projek peribadi yang mana saya membuatnya untuk anak-anak saya sebelum berkongsi gambarnya dalam media sosial.

“Dari situ saya mula mendapat pertanyaan rakan-rakan yang mahu menempah untuk anak-anak mereka, kemudian perniagaan ini pun bermula,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Ibu kepada tiga anak masing-masing berusia 6, 4, dan 2 tahun itu berkata, detik tersebut menjadi titik tolak permulaan dalam memulakan perusahaan kraf tangan itu dengan memasarkan produknya secara atas talian menerusi Facebook dan Instagram dengan jenama The Little Z.

Farha memberitahu, buat waktu ini banyak memberi fokus kepada kelengkapan kanak-kanak seperti play mat, buku permainan, beg serta aksesori kelengkapan alat tulis.

“Antara produk yang banyak mendapat tempahan adalah play mat dan buku permainan yang mana terdapat aktiviti interaktif yang boleh dilakukan anak-anak kecil bagi mengisi masa lapang.

“Ini secara tidak langsung turut membantu ibu bapa mengurangkan penggunaan gajet buat anak-anak dengan memberi mereka aktiviti yang lebih sihat untuk dilakukan,” katanya.

Menariknya produk itu boleh dihasilkan mengikut kehendak dan kreativiti ibu bapa sendiri termasuk pemilihan warna, corak serta meletak nama anak-anak mereka.

Bagaimanapun dia ketika ini terpaksa mengehadkan jumlah tempahan ke­rana menjalankan perusahaan itu sendirian, namun merancang mencari pembantu bagi meningkatkan produktiviti dan mengembangkan perniagaan itu pada masa depan.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh kunjungi Facebook The Little Z ataupun Instagram, thelittle.z atau hubungi talian 017-7347779.

Barangan kelengkapan kanak-kanak dijual dengan harga serendah

RM25

Boleh

memilih sendiri

warna, corak dan jenis permainan yang dimahukan

Antara

kelebihan

produk The Little Z ialah berbentuk interaktif, ringan dan mudah dibawa