Muhammad Lai Abdullah, 52, yang masih bujang berasal dari Perak, mengalami buta mata kiri akibat tertusuk benda tajam 15 tahun lalu, membawa diri ke Johor selepas dibuang keluarganya apabila mereka mengetahui dia memeluk agama Islam pada 2015.

“Saya tidak mampu untuk be­kerja kerana mengalami masalah sukar bernafas akibat kemalangan kira-kira 10 tahun lalu dan hanya bergantung kepada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Sejak dua tahun lalu saya terpaksa menumpang bilik sewa seorang rakan bukan Islam untuk meneruskan hidup kerana tidak mampu menyewa bilik sendiri,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sekijang di sini hari ini.

Dia berkenalan dengan rakannya itu, Chen Ka Hing 39, seorang tukang paip di daerah ini ketika merempat tidur di jalanan dua tahun lalu sebelum dipelawa untuk tinggal secara percuma di bilik sewanya.

Saudara baharu itu pernah menyewa bilik sebelum ini, namun kerana tidak mampu untuk membayar sewa bulanan, dia telah diusir dan terpaksa merempat di kaki lima selain mengharap sedekah orang ramai untuk meneruskan hidup sebelum ditemui rakannya itu.

Muhammad Lai juga runsing apabila memikirkan jalan untuk menyediakan wang sebanyak RM18,000 sebagai kos pembedahan hidungnya yang menjadi punca sukar bernafas.

“Keadaan kesihatan saya sekarang semakin teruk dan ada kalanya lendir keluar daripada hidung saya tanpa henti membuatkan saya semakin sukar untuk bernafas.

“Saya harap ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan untuk saya menjalani rawatan dan pembedahan hidung bagi membolehkan saya kembali sihat dan berusaha mencari rezeki menyara hidup,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun CIMB 76-259-76410 atas nama Muhammad Lai.