Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, kerajaan negeri akan meminta kerajaan Pusat untuk memperuntukkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah keseluruhan kos pembinaan kemudahan bagi temasya itu.

“Biasa kerajaan akan beri peruntukan...saya sendiri akan buat follow up,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Sumbangan Back to School di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) Kejora, Hamzah Isa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain dan ADUN Johor Lama, Rosleli Jahari.

Sementara itu, Osman dalam ucapannya berkata, program itu bertujuan membantu mengurangkan beban keluarga daripada golongan kurang berkemampuan untuk memenuhi kelengkapan persekolahan anak-anak.

Tambahnya, bagi tujuan itu, Kejora telah menyediakan bantuan berupa sekolah dan baucar bernilai RM100 seorang bagi membeli kelengkapan sekolah kepada 500 kanak-kanak terdiri daripada golongan miskin, anak-anak yatim, orang kurang upaya, ibu tunggal dan yang kurang berkemampuan. - UTUSAN ONLINE