Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, pengamal media tidak seharusnya terpe­rangkap dengan gejala memapar dan menyiarkan maklumat yang diragui kesahihan dan kebenarannya atau menggunakan tajuk berita yang misleading dan tidak menggambarkan keseluruhan isi kandungan berita, ha­nya demi mendapatkan jumlah bacaan yang tinggi.

Menurutnya, tidak dinafikan peralihan kerajaan turut menyebabkan beberapa perubahan dalam industri media antaranya pembebasan pemilikan media daripada pengaruh atau ideologi parti politik juga sedang diusahakan dan mengambil sedikit masa.

“Dalam masa sama, saya mengharapkan wartawan dapat memainkan peranan masing-masing dengan melaporkan sesuatu berita secara adil serta saksama dan liputan bukan ha­nya harus menjurus kepada soal isu semasa yang berlegar pada era Malaysia Baharu.

“Tetapi juga soal pembangunan, mengukuhkan permuafakatan antara kita semua, merapatkan jurang perbezaan antara kaum dan mengharmonikan hubungan antara kerajaan dan masyarakat.

“Ini kerana, kerajaan ini me­rupakan kerajaan baharu,” katanya dalam Majlis Anugerah Media Johor 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini malam tadi.

Dalam majlis itu, bekas wartawan Utusan Malaysia, Maznah Mohd. Arsad memenangi ka­tegori Anugerah Berita Ekonomi Terbaik menerusi berita bertajuk Ternak Kelulut Tambah Pendapatan membawa pulang ha­di­ah wang tunai RM2,000, piala serta sijil.

Memulakan kerjaya dengan Utusan Malaysia pada 1984, Maznah menzahirkan ucapan terima kasihnya kepada Utusan Melayu (M) Berhad sepanjang 34 tahun menabur khidmat dengan akhbar itu.

“Terlalu banyak pengalaman yang saya peroleh selama saya bergelar wartawan dengan akhbar ini, setinggi-tinggi penghargaan untuk Utusan Malaysia kerana memberi pelbagai peluang kepada saya,” katanya.

Maznah meninggalkan Utusan Malaysia sejak Disember tahun lalu selepas mengambil Skim Pemberhentian Sukarela (VSS).