Mereka ialah Muhammad Kamil Yahya, Abdul Hadi Mohd. Subki, Sya­mil Rosli dan Muhammad Dhiauddin Ahmad Termizi dari Fakulti Kejuruteraan serta seorang lagi dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan iaitu Nik Mohammad Aiman Ibrahim.

Pentauliahan itu akan melayakkan mereka menjadi imam di Masjid Sultan Ismail, UTM dan mengimamkan solat mengikut jadual yang ditetapkan serta dilatih menjadi khatib solat Jumaat.

Untuk mendapat pentauliahan, kelima-lima mahasiswa itu menjalani dua saringan ujian iaitu peperiksaan bertulis dan sesi temuduga bersama pegawai Pejabat Kadi Daerah Kulai.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTM, Prof. Dr. Durrishah Idrus berkata, pentauliahan itu merupakan usaha pelbagai pihak UTM termasuk Pusat Islam universiti untuk melahirkan graduan holistik dan serba boleh dalam pelbagai bidang selain bidang pengajian mereka.

Menurutnya, mahasiswa tersebut merupakan antara yang terlibat dengan program signature UTM iaitu 5 Excellent Track Programmes (5ETP) daripada teras teknohafiz.

“5ETP merupakan program elit dan unik untuk membangunkan bakat, minat, menjana kreativiti, motivasi serta mempunyai lima teras iaitu kepemimpinan global, minda nobel, teknousahawan, kecemerlangan sukan dan teknohafiz,” katanya di sini baru-baru ini.

“Teras teknohafiz melahirkan mahasiswa yang mampu memahami makna, hukum dan hikmah al-Quran serta boleh mengaplikasikannya dalam profesion yang diceburi,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Muhammad Dhiauddin yang baharu dinobatkan sebagai Johan Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Pahang pada 29 November tahun lalu, bersyukur dengan nikmat yang dianggapnya sebagai satu penghargaan dan ujian untuk dirinya dan rakan-rakan lain.

“Saya memandang pentauliahan ini sebagai cabaran untuk peningkatan diri,” katanya.