Festival pelancongan pe­ringkat antarabangsa yang kini sudah memasuki kali ke-24 peng­anjurannya itu diadakan pada ketika musim tiupan angin berada pada kemuncaknya bagi memastikan setiap layang-layang dapat di­terbangkan.

Pastinya keadaan itu memberi peluang kepada pengunjung bukan sahaja menyaksikan pelbagai layang-layang yang ‘menawan’ angkasa tetapi turut meluangkan masa dan bersantai di sana.

Menariknya, festival itu ini bukan sahaja memberikan pe­luang kepada pengunjung untuk membawa ahli keluarga dan rakan-rakan meluangkan masa berkualiti, tetapi kunjungan daripada individu atau pihak yang istimewa.

Itu yang dilakukan pihak Sekolah Kebangsaan Taman Pasir Putih di sini apabila membawa pelajar daripada golo­ngan orang kurang upaya (OKU) un­tuk sama-sama merasai pe­ngalaman itu.

Menurut Pembantu Pendi­dikan Khas SK Taman Pasir Putih, Nuratiqah Hashim, 34, mereka berkunjung ke festival tersebut bagi memberi peluang dan pengalaman kepada kanak-kanak istimewa terlibat berinteraksi dengan ma­syarakat.

Menurutnya, kunjungan tahun ini disertai 11 Pembantu Pendidikan Khas dan 14 kanak-kanak istimewa berusia antara 7 hingga 14 tahun dan telah dimulakan sejak 2008 lagi.

“Tujuan utama kunju­ngan ini untuk membiasakan kanak-kanak istimewa ini de­ngan aktiviti yang melibatkan masyarakat selain berada dalam khalayak ramai.

“Ini kerana ada antara mereka yang tidak biasa dan gemuruh apabila berada dalam kalangan masyarakat, khususnya orang-orang yang mereka tidak kenal,” ujarnya ketika ditemui.

Seramai 14 kanak-kanak istimewa dari SK Taman Pasir Putih terlibat terdiri daripada mereka yang mempunyai pelbagai jenis kekurangan termasuk masalah pembelajaran dan sindrom down.

Tambahnya, program seper­ti itu secara tidak langsung mendidik pelajar terlibat untuk bersantai secara normal seperti yang dilakukan masyarakat umum di luar sana.

Seorang pengunjung lain, Khairi Jaafar, 54, membawa ahli keluarganya berkunjung ke festival itu sebagai satu aktiviti yang boleh merapatkan hubungan silaturahim sesama keluarga.

“Festival ini secara tidak langsung menjadi aktiviti santai buat kami sekeluarga de­ngan meluangkan masa berkualiti bersama,” ujarnya.