Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, laporan penuh Hospital Sultan Ismail (HSI) mengenai kematian Mohamad Thaqif Amin Mohd. Gaddafi,11, akan diberikan keutamaan dan disiapkan segera.

“Proses bedah siasat yang dilakukan semalam mengambil masa yang lama untuk menentukan apakah masalah, penyakit dan bentuk tindakan yang ada dari segi kesan-kesan ke atas jenazah tersebut. Jadi, ia akan ambil masa sedikit kira-kira dua minggu. 

“Perdana Menteri juga mahu siasatan disegerakan namun ia bergantung kepada pihak hospital dan polis untuk menyegerakan proses tersebut,” katanya ditemui selepas merasmikan program Promosi Kesihatan Pergigian Golongan Keperluan Khas (Pendengaran) peringkat negeri, di sini sebentar tadi.

Mohamad Thaqif Amin disahkan meninggal dunia pukul 2.05 petang semalam selepas berada dalam keadaan koma selepas menjalani pembedahan membuang kedua-dua kakinya. - UTUSAN ONLINE