Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang berkata, cadangan penyelarasan itu bagi menyelesaikan beberapa masalah kecil termasuk jumlah penumpang.

Katanya, pihaknya mendapati, ada laluan yang kurang sesuai kerana penum­pang yang menggunakan bas tidak ramai.

“Kita akan buat cadangan penyelarasan semua laluan, mungkin ada perubahan sikit bagi beri lebih manfaat kepada rakyat Johor.

“Cadangan kita dalam kontrak baharu pada bulan depan, mana-mana laluan kurang penumpang kita akan cadangkan supaya bas yang lebih kecil digunakan untuk mengurangkan kos,” katanya selepas membuat tinjauan Bas Muafakat Johor di Terminal Larkin di sini baru-baru ini.

Mazlan berkata, mengikut rekod, setakat ini terdapat 62 laluan di seluruh negeri dengan kemudahan sebanyak 70 buah bas dengan lebih 6,000 penumpang menggunakan perkhidmatan bas itu setiap hari.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan melakukan siasatan berhubung dakwaan terdapat segelintir pihak menjual kad Bas Muafakat Johor kepada warga asing atau mereka yang tidak layak.

“Kita ada menerima aduan kad tahunan bas bernilai RM10 setahun dijual dengan harga tinggi sehingga mencecah RM100, selain pemandu bas memaklumkan ada melihat warga asing menggunakan bas itu,” katanya.