Pegawai pemerintah operasinya, Roslee Ibrahim berkata, tompokan tersebut ditemukan pada kedudukan 1.1 batu nautika dari Pantai Desaru atau 1.6 batu nautika dari Tanjung Penawar.

“Operasi pemantauan dilakukan 12 kru Bot Al Tair dan menemui tompokan itu pada 1.50 tengah hari tadi. Kita mengesan tompokan minyak tersebut. Berikutan itu, kita membersihkannya dengan kaedah semburan kimia atau spray dispersant,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Menurutnya, operasi hari ini yang disambung bermula pukul 8 pagi tadi membabitkan Bot Al Tair bersama 12 kru dan membuat pemantauan di sekitar kawasan Tanjung Balau, Teluk Penawar dan Teluk Punggai.

 

Katanya, keseluruhan kawasan yang dipantau membabitkan 23 batu nautika dengan kaedah penglihatan dan menggunakan dron.

“Usaha pemantauan masih dijalankan sehingga operasi ditangguhkan pukul 6 petang ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE