Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, kerjasama menerusi memorandum persefahaman (MoU) itu merupakan persediaan bagi pengurusan kargo produk halal.

Katanya, aspek yang tidak boleh diabai adalah berhu­bung industri halal di mana permintaan dunia terhadap produk halal dijangka bernilai RM243.6 bilion menjelang tahun 2020.

“Ini merupakan satu pasaran yang besar dan berpotensi untuk diterokai di mana saya dimaklumkan LPJ akan meneroka pasaran halal ini.

“Untuk itu, LPJ akan menandatangani MoU bernilai RM250 juta dengan Iskandar Halal Park bagi mewujudkan Taman Perindustrian Halal di Pasir Gudang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pe­ngangkutan, Datuk Jana Santhiran sempena Minggu Pelabuhan Johor 2018 di Double Three Hilton Hotel di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi LPJ, Datuk Abdul Rahim Ramli dan Pengurus Besar LPJ, Muhammad Razif Ahmad.

Sementara itu, Muhammad Razif memberitahu, kerjasama dengan Iskandar Halal Park untuk mewujudkan pelabuhan halal selari dengan langkah kerajaan dalam sektor itu.

“Bagi melaksanakan perkara itu, kita akan menggunakan fasiliti dan kawasan sedia ada, tidak perlu dibangunkan kawasan baharu untuk perkara itu,” ujarnya.

Minggu Pelabuhan Johor 2018 diadakan selama seminggu bermula pada 27 Oktober lalu dan merupakan kali kelima diadakan sejak 2014.