Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri dalam kenyataan memberitahu, usaha pemantauan itu merupakan program pemantauan kualiti udara berterusan yang dilakukan pihaknya.

“Cerapan bacaan pada keempat-empat hari tersebut menunjukkan bacaan gas yang normal pada waktu siang dan malam.

“Bacaan di sekitar Pasir Gudang juga menunjukkan julat yang sama di lokasi cerapan yang berada lebih kurang 19 kilometer di luar kawasan Pasir Gudang,” demikian menurut kenyataan tersebut yang dikeluarkan malam ini.

Menurut JAS negeri, dalam menangani insiden gejala kesihatan seperti sesak nafas dan muntah dalam kalangan pelajar yang berlaku sejak 20 Jun lalu di Pasir Gudang, pihaknya memantau bacaan gas di 138 lokasi.

Jelas JAS negeri, inisiatif tersebut melibatkan sekolah, tempat awam dan kawasan industri selain mencerap sebanyak 3,275 bacaan dengan menggunakan peralatan Gasmet.

“Ini disokong dengan alat pengukuran gas iaitu multi gas detector yang dibekalkan kepada 111 sekolah di seluruh Pasir Gudang bermula dari 1 Julai hingga 14 Julai 2019,” menurut kenyataan itu lagi.

Sepanjang operasi dari 20 Jun hingga 17 Julai 2019, JAS sudah memeriksa dan menguat kuasa sebanyak 257 kilang berasaskan bahan kimia yang beroperasi di sekitar Pasir Gudang.

Daripada aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan JAS negeri, sebanyak tiga syor tindakan mahkamah diambil, 12 perintah tahan operasi peralatan dikeluarkan, 60 notis arahan dikeluarkan dan 146 kompaun dikenakan

berjumlah RM 292,000. - UTUSAN ONLINE