Ketua Pegawai Eksekutif KPYPJ, Nasri Md. Ali berkata, penubuhan tabung itu berdasarkan kajian dalaman yang menunjukkan 35 peratus penuntut kolej-kolej KPYPJ berlatarbelakangkan keluarga berpendapatan rendah yang memerlukan pembelaan.

Katanya, tabung Amanah yang turut mendapat sumbangan peribadi Menteri Besar dan Majlis Agama Islam Johor (MAINJ) RM130,000 itu antara lain digunakan untuk urusan pembayaran yuran pendaftaran pelajar dan yuran asrama pelajar yang layak.

Berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Maulidur Rasul Peringkat KPYPJ di Kolej YPJ di sini baru-baru ini, beliau berkata, dana tersebut juga meliputi bantuan musibah, pembiayaan perubatan dan kematian yang melibatkan penuntut jika berlaku.

“Melalui tabung ini, sebanyak RM500 diperuntukkan kepada setiap penuntut yang layak di mana RM400 daripadanya dalam bentuk kupon makanan di mana-mana kafeteria kolej manakala baki RM100 dimasukkan dalam akaun pelajar untuk pelbagai kegunaan.

“Selain Tabung Amanah, inisiatif Infaq Pelajar diperkenalkan di Kolej YPJ berupa sumbangan makanan dan minuman percuma setiap hari kepada pelajar yang memerlukan di mana ke­semua makanan ini disediakan di depan di pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) KYPJ,” katanya.

Beliau memberitahu, segala bentuk dana dan sumbangan itu merupakan bukti betapa KPYPJ begitu mengambil berat soal kebajikan dan permasalahan yang dihadapi para penuntutnya.

“Dalam konteks semangat Maulidur Rasul, sebenarnya tanpa disedari segala bentuk sumbangan yang kita lakukan ini sebenarnya merupakan satu ibadah. Begitu juga dalam hal-hal menggembirakan dan menyenangkan orang lain, malah membantu manusia juga merupakan ibadah dan sunnah Rasulullah SAW,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap majlis sambutan Maulidur Rasul dianjurkan KYPJ dengan pelbagai pengisian itu dapat memberi inspirasi kepada warga kerja dan penuntut KPYPJ untuk berusaha mengikuti acuan kehidupan Rasulullah SAW dalam segenap aspek kehidupan.

Lebih 1,000 penuntut dan kakita­ngan KYPJ menyertai majlis sambutan Maulidur Rasul bertemakan ‘Menyantuni Ummah Membawa Rahmat’ yang melibatkan pengisian seperti ceramah agama, persembahan kumpulan qasidah dan nasyid serta penyampaian sumbangan Tabung Amanah.

Turut langsungkan bersempena sambutan Maulidur Rasul kali ini ialah Bengkel Asas Memanah melibatkan staf dan pelajar kolej, Pertandingan Poster Sunnah, Pertandingan Seni Khat dan juga Pertandingan Nasyid.