Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasri Md. Ali berkata, antara pendekatan itu termasuk memperkukuhkan bahagian kredit KPYPJ di peringkat ibu pejabat selain membuka kaunter pembayaran hutang pengajian itu di Angsana Mall Johor Bahru di sini sejak 3 Mac lalu.

Nasri berkata, bagi menarik lebih ramai lepasan KPYPJ menjelaskan hutang pihaknya menawarkan potongan sehingga 40 peratus sepanjang tempoh dua minggu dari tarikh pelancaran Kaunter KPYPJ Info Desk di pusat beli-belah itu pada 9 Mac lalu.

“Hutang ini perlu dikutip bersungguh-sungguh kerana merupakan hasil yang dapat digunakan bagi tujuan penyediaan kemudahan infrastruktur pelajar seperti asrama, kemudahan riadah selain disalurkan ke dalam Tabung Amanah KPYPJ untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kaun­ter KPYPJ Info Desk yang terletak di aras dua Angsana Mall Johor Bahru di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengurus Besar KPYPJ, Abdul Razak Mohd. Saad serta bakal Ikon KPYPJ, pelawak terkenal Shahrol daripada Kumpulan Shiro.

Dalam masa sama, Nasri berharap lepasan sekolah dan juga ibu bapa dapat manfaatkan kaunter informasi KPYPJ itu dengan mendapatkan segala maklumat mengenai program-program pengajian ditawarkan kolej-kolej miliknya selain informasi mengenai kemudahan asrama yang disediakan, yuran pendaftaran dan pengajian serta pinjaman yang ditawarkan.

Menurutnya, pembukaan KPYPJ Info Desk juga bertepatan dengan masa dan ketika keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal diumumkan pada 14 Mac ini membolehkan para pelajar mendapat khidmat runding daripada petugas kaunter tersebut program-program pengajian yang sesuai diikuti berdasarkan kelulusan.