“Dengan adanya Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2019 seperti ini kami kaum Cina, Melayu, India serta lain-lain dapat turun berkumpul ramai-ramai dan dengan ini hubungan antara kaum dapat dibina.”

 

Demikian luahan seorang wanita keturunan Tionghua, Hoe Mok Keaw, 49, ketika ditemui pemberita sempena KMJ 2019 yang singgah di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Paloh di sini hari ini.

MOK KEAW
MOK KEAW 

Dia menyifatkan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan kerabat diraja berjiwa rakyat apabila sanggup meredah perjalanan jauh dengan untuk mendekati rakyat dalam KMJ yang menjelajah semua daerah di negeri ini.

Seorang suri rumah, P. Susheela, 58, dan suaminya keluar rumah awal pagi semata-mata untuk merasai kemeriahan sambutan jelajah kembara itu.

“Walaupun cuaca panas hari ini kami tidak berganjak menanti ketibaan Tuanku Sultan Johor kerana ini pertama kali dia datang ke sini jadi saya tidak mahu lepas peluang.

“Sultan Ibrahim sangat baik sebab sanggup turun padang berjumpa rakyat jelata beramah mesra dan bertanya khabar keadaan kami,” katanya.

Terdahulu rombongan KMJ 2019 edisi ke-22 yang diketuai Sultan Ibrahim singgah di padang SMK Seri Kota Paloh selepas berlepas dari Istana Muar sebelum ke Felda Chemplak, Labis, Segamat.

meskipun cuaca panas mencecah 33 darjah celsius tidak menghalang lebih 2,000 penduduk Paloh di sini berkumpul bertemu mata dengan Sultan Johor.

P.SUSHEELA
P.SUSHEELA 

Malah seawal pukul 9 pagi lagi orang ramai mula membanjiri padang SMK Seri Kota Paloh menunggu ketibaan rombongan keluarga diraja ke persinggahan ketiga pada hari kedua KMJ 2019.

Konvoi KMJ 2019 sejauh 146 kilometer (km) pada hari ini turut diiringi Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar dan Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman.

Turut berangkat ialah Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim serta suami kepada Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah, Datuk Dennis Muhammad Abdullah. - UTUSAN ONLINE