Aktiviti berkenaan yang merupakan satu daripada pengisian KMJ 2019 di Labis merupakan satu keunikan sukan rakyat yang tersendiri di sini.

Timbalan Pengerusi Persatuan Kelab Speda Tua Chemplak, Rosli Md. Saleh bangga dapat memperkenalkan sukan unik itu terutama depan Sultan Ibrahim bersama-sama kerabat diraja Johor dan rombongannya.

“Sukan ini turut dipersembahkan di negeri lain seperti Melaka dan Negeri Sembilan, namun di Johor melibatkan Felda Chemplak sahaja.

“Ini adalah keunikan kami dan ramai tanya kenapa pertandingan basikal lambat, sebab basikal ini adalah basikal tua jadi bawa pun lambatlah.

“Rasa amat bangga sebenarnya dapat persembahkan kepada Sultan Johor dan ini adalah persembahan kedua kami sebenarnya di depan Baginda, jadi teruja dapat menunjukkan keunikan sukan unik di felda kami ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Rosli, Persatuan Kelab Speda Tua Chemplak juga menerima undangan daripada negara jiran seperti Indonesia untuk membuat persembahan basikal tua paling perlahan.

Di Felda Chemplak katanya, warga belia juga menunjukkan minat untuk sertai selain untuk suka-suka tetapi pada masa sama menunjukkan bukti bahawa basikal tua dan pertandingan seperti itu ada keunikannnya yang tersendiri.

Terdahulu, Sultan Ibrahim yang tiba di Felda Chempelak pada puul 8.30 pagi tadi dengan menaiki motosikal berkuasa tinggi bersama-sama kerabat diraja Johor dan rombongannya.

Sultan Ibrahim turut berkenan menunggang motosikal kapcai dan bersiar-siar di felda itu untuk melakukan pelbagai aktiviti antaranya menyaksikan demonstrasi masakan cendawan goreng tepung, gotong-royong memasak bubur lambuk dan minum pagi bersama golongan belia felda berkenaan.


Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman bersama-sama Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar menyertai acara baling tin dalam satu aktiviti sempena KMJ 2019 di Felda Chempelak, Labis, Johor, hari ini.

Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah pula berkenan melihat beberapa demonstrasi seperti membuat bahulu dan kuih-kuih pameran orkid dan pameran kraftangan kayu.

Anakanda Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar melakukan aktiviti seperti menyumpit belon air dan tarik tali.

Sultan Ibrahim yang meluangkan masa selama lebih sejam di Felda Chempelak kemudiannya berkenan berangkat meneruskan perjalanan destinasi kedua hari ini Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kota Paloh, Kluang. - UTUSAN ONLINE