Program keusahawanan peringkat kebangsaan itu di M Suites Hotel di sini mendapat kerjasama Unit Keusahawanan dan Alumni, Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar (BAPP) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).

NSBC yang diadakan selama tiga hari disertai 49 peserta dalam kalangan penuntut politeknik dan kolej komuniti seluruh negara bersama-sama 10 pensyarah daripada institusi yang sama.

Peserta-peserta program berkenaan terdiri daripada mereka yang terpilih ke peringkat separuh akhir melalui penjurian

saringan pertama yang diadakan pada 25 Februari lalu menerusi 99 penyertaan.

Antara pengisian utama bengkel ialah mendedahkan peserta-peserta dengan ilmu dan kemahiran, pembentangan idea perniagaan melalui satu model perniagaan yang dikenali sebagai Business Model Canvas (BMC).

Majlis perasmian program NSBC disempurnakan oleh Pengarah BAPP JPPKK, Wan Nasir Wan Abdul Rahman. Yang turut hadir Pengarah PMJB, Azirin Abdul Aziz.

Azirin ketika berucap, mengharapkan program itu dapat memberikan impak besar kepada peserta dalam bidang perniagaan dan keusahawanan khususnya dalam kalangan penuntut yang masih dalam pengajian.

“Penganjuran program ini bukan sahaja sebagai laluan peserta memenangi hadiah lumayan yang ditawarkan tetapi secara tidak langsung dapat meningkatkan kemampuan komunikasi efektif.

“Ini sebagai persediaan mengharungi cabaran dan persaingan dunia perniagaan dan keusahawanan sebenar yang semakin kompetitif,” ujarnya.

Beliau berkata, penganjuran program itu juga dilihat sebagai satu platform bagi membuka peluang kepada peserta untuk melebarkan sayap perniagaan mereka kepada para pelabur di luar.

Sementara itu, keputusan pertandingan tersebut menyebelahi peserta dari Kolej Komuniti Kota Tinggi (KKKT), Adriana Maria Shu’aidi yang dinobatkan sebagai juara Kategori Pelajar dengan produknya Tepung Magic Pizza.

Pensyarah dari Politeknik Mersing Johor (PMJ), Zainolrin Saari pula dinobatkan sebagai juara Kategori Pensyarah dengan produknya eFMs.

Masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM800 dan RM500 berserta trofi dan sijil kemenangan.

Peserta tuan rumah, PMJB mengungguli tempat keempat bagi Kategori Pelajar dan tempat ketiga serta saguhati bagi Kategori Pensyarah. - UTUSAN ONLINE